"Wahai Tuhan ku yang Esa
bila kenangkan QahharMu
rasa gerun dihatiku kerana takutkan seksaMu
hambaMu rasa berputus-asa
siapakah dapat bersihkan diri dari segala dosa
yang memburu setiap hari setiap ketika
Sewaktu mengenang GhaffarMu
putus asa tiada lagi semangat ku pulih semula
harapanku subur kembali
Alangkah susahnya mendidik nafsuku
yang tidak melihat kebenaranMu
mehnahMu itu penghapus dosaku
pengganti hukuman Mu di akhirat."
Ya Allah, alangkah sukarnya mendidik nafsuku, alangkah sukarnya mengekalkan taubatku, alangkah payahnya menepati janjiku padaMu, alangkah beratnya untukku mengingatiMu setiap saat, alangkah payahnya untukku merasai bahawa Kau sentiasa melihatku.
Ya Allah, ampunilah aku, hambaMu yang lemah
Ya Allah, sukarnya aku menepati janjiku padaMu, sedangkan Kau Tuhan yg menciptakan aku, yang memegang rohku, yang meminjamkan jasadku, yang menentukan takdirku, yang menjadikan aku dari air yang hina, dari segumpal tanah.
Ya Allah, sesungguhnya tiada rugi bagiMu andai aku mendurhakaiMu. Namun alangkah besar kerugian dan penyesalanku nanti, andai aku mendurhakaiMu.
Ya Allah yang mengetahui isi hatiku
Ya Allah yang membolak-balikkan hati-hati manusia, tetapkanlah hatiku kepada mentaatiMu
Ya Allah Ya Rahman, peliharalah aku dari dosa-dosa yang inginku tinggalkan
Ya Allah, janganlah kau tinggalkan aku dari pemerhatianmu, janganlah kau biarkan aku hanyut dari mengAgungkanMu, janganlah kau biarkan aku menggantikan tempatMu dihati ini dengan dunia yang terlalu kecil nilainya disisiMu, jadikanlah aku manusia yang dipercayai kerana imanku kepadaMu. jadikanlah aku orang yang dicintai kerana cintaku kepadaMu, jadikanlah aku orang yang tinggi darjatnya kerana aku mengagungkanMu, jadikanlah aku orang yang sentiasa sedar bahawa dunia ini tidak lain dari sekadar ujian sejauh mana cintaku padaMu
Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari perkara-perkara yang boleh mensyirikkanku padaMu
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, janganlah kau beri kebahgiaan kepadaku di dunia ini andainya ia menjadikanku sengsara di akhirat nanti, janganlah Kau temukan aku dengan seseorang yang akan kucintai andainya ia akan menjauhkan aku dari sisiMu di akhirat nanti, janganlah Kau berikan aku kekayaan di dunia andainya ia akan menyebabkan aku gagal dalam hisabku di akhirat nanti.
Ya Allah, bersihkan lah hatiku dari noda-noda hitam yang kuciptakan sendiri
Ya Allah kembalikanlah sinar dihatiku, walau secebis agar ia dapat menjadi sumber cahaya yang menyuluh hidupku agar kudapat membezakan antara yang hak dan yang batil
Ya Allah, sedarkanlah aku akan hakikat kewujudanMu dan KeagunganMu, lembutkanlah hatiku ini sebagaimana kau jadikan besi lembut untuk Nabi Daud alaihissalam
Ya Allah, dengarlah rintihan hatiku, hambamu yang hina, hambamu yang lemah dan berdosa, hambamu yang sering melupakanMu, hambamu yang susah untuk melakukan suruhanMu, hambamu yang sering melupakanmu diwaktu senang dan hanya mengingatiMu diwaktu susah, hambamu yang sering bongkak dan takbur hingga melupakan keagunganMu, hambaMu yang sering berdolak-dalik, hambaMu yang sering berpura-pura dan hambaMu yang sering memungkiri janji taubatnya padaMu.
Ya Allah, bantulah aku, ingatkanlah aku bila aku lupa, tegurlah aku dengan segera andainya aku lalai dan mula jauh dariMu, janganlah Kau palingkan pemerhatianMu dariku
Ya Allah yang menciptakan alam yang sangat luas ini, berilah aku ruang di sisiMu agar aku menjadi hambaMu yang solehah, hambamu yang beribadah bukan kerana inginkan syurgaMu atau takutkan nerakaMu tapi kerana inginkan Keredhaan dan Rahmat dariMu Tuhan semesta alam.
Ya Allah, jadikanlah hati yang Kau pinjamkan kepadaku untuk sementara ini, sentiasa mengingat keagunganMu di kala susah mahupun senang, jadikanlah tanganku yang Kau pinjamkan sesaat di dunia ini untuk melakukan perkara yang Kau redhai, jadikanlah sepasang mataku yang Kau berikan ini untuk melihat kebesaran dan keagunganMu melalui alam ciptaanMu, Jadikanlah juga ia untuk mengalirkan airmata taubat kepadaMu, untuk mengalirkan airmata kerana takut akan kemurkaanMu, kerana takut tidak diredhai olehMu, kerana takut tidak diterima olehMu di alam yang kekal selamanya nanti, jadikanlah kakiku yang Kau pinjamkan sementara di dunia ini untukku melangkah ke arah jalan yang Kau redhai, jadikanlah mulut dan lidahku ini, untukku menyebut-nyebut keagungan dan kebesaranMu kerana benar-benarku mengAgungkanMu, jadikanlah juga segala rezeki dariMu yang masuk ke mulutku ini adalah yang halal dan jauh dari syubhah yang akan menjadi darah dagingku, jadikanlah juga mindaku ini, untuk memikirkan tentang keesaanMu dan kehebatanMu menciptakan aku dan seluruh alam yang maha luas ini, jadikanlah juga 24 jam sehari yang Kau pinjamkan kepadaku dipenuhi dengan perkara bermanfaat dan yang Kau redhai, jadikanlah juga tempoh hayatku yang sementara dan tidakku ketahui itu dipenuhi dengan perkara yang boleh membahagiakan aku di akhirat nanti.
Ya Allah Yang Maha Mengetahui isi hatiku, kurniakanlah aku kebahagian di dunia dan akhirat dan jauhkanlah aku dari azab api nerakaMu.
Amiiiin…
Sunday, December 13, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)






0 comments:
Post a Comment